Friday 27 April 2012

Air Mata Ain


Ain berkali-kali menekan perutnya yang sakit. Terasa gastriknya menyerang pedih ke bahagian perut. Mana tidaknya, sedari pagi Ain tidak menyentuh apa-apa makanan. Jam sudah lewat menginjak ke pukul 10 malam. Teman sebiliknya masih belum pulang. Ain sendirian tika itu, hanya mampu menahan kesakitan yang amat. Tidak lama kemudian, terdengar pintu diketuk kuat. Tentu teman sebiliknya telah pulang. Ain cuba mengensot hendak ke muka pintu, namun tak berdaya. Berkali-kali dia mencuba, namun tetap juga gagal. Lantas dia mengambil keputusan untuk berdiam diri sambil menahan kesakitan. Matanya dipejam rapat-rapat. Sakitnya semakin galak menguasai diri. Pintu diketuk semakin lama semakin kuat.

Ain hanya mampu beristigfar dalam hati, mengharapkan Allah permudahkan segala jalan. Ketukan bertalu-talu masih kedengaran. Ain tahu, tentu teman sebiliknya, Anita akan memarahinya kerana tidak membuka pintu.

“Wei, buka lah, sial, perempuan cacat!” Satu suara kedengaran jelas menikam hati Ain. Bagaikan secara automatik, air jernih mula menitik setetes demi setetes. Sakit yang dirasai sebelum ini terasa tiada sakit langsung. Sesungguhnya kata-kata dari teman sebiliknya itu lebih menyakitkan bagaikan pisau pembunuh yang paling tajam.

“Cacat!” Sekali lagi perkataan itu terkeluar dari mulut Anita. Titisan air mata semakin galak bermain dari mata Ain. Sesungguhnya Ain lemah menghadapi situasi itu. Di saat dirinya sakit, ada pula perkataan kasar dihamburkan kepadanya. Satu perkataan yang Ain sendiri arif tentang itu dan tak ingin lagi didengar. Ain sedar, dirinya tempang, dirinya cacat, tak sempurna seperti manusia lain.

Berkali-kali Anita mencuba untuk membuka pintu bilik sambil ketukan bertalu-talu terus kedengaran. Bagaikan ingin pecah daun pintu bilik. Ain terus beristigfar tak henti-henti dalam hatinya. Setelah beberapa lama mencuba, akhirnya Anita yang ditemani kawannya yang juga merupakan adik angkat Ain, Farah berjaya membuka pintu bilik. Setelah pintu bilik terbuka, Farah terkejut melihat keadaan Ain lalu meluru pantas mendapatkan Ain yang terlantar atas katil sambil menekan perut berkali-kali. Mata Ain sengaja dipejam rapat-rapat, sambil air jernih masih lejun membasahi pipinya. Anita berlagak biasa seperti tiada apa-apa yang berlaku di hadapannya. Dia menyusun beberapa helai baju dan buku untuk esok. Keadaan Ain lansung tidak menarik perhatiannya.

“Kenapa dengan Kak Ain ni? Akak tak makan lagi hari ni?” Soal Farah yang berada di sisi Ain menemani. Ain hanya terdiam bisu, membiarkan air mata membasuh luka di hati. “Kak Ain..” Ujar Farah lembut sambil mengusap-ngusap tubuh Ain.

“Anita, kita panggil Kak Zahrah. Teruk keadaan Kak Ain ni.” Usul Farah kepada Anita setelah dia sendiri kebuntuan untuk melakukan sesuatu. “Terserah.” Jawab Anita ringkas.
Zahrah merupakan kawan baik Ain. Mereka selalu dilihat bersama. Namun kebelakangan ini, ada salah faham di antara mereka yang mencetuskan pergaduhan besar sehingga Zahrah memutuskan persahabatan mereka dan berjanji untuk tidak lagi ke bilik Ain. Kebencian Zahrah terhadap Ain begitu mendalam sehingga jatuh ke lubuk hatinya yang terdalam.

Beberapa minit kemudian, Zahrah datang ke bilik Ain. Dalam menahan rasa sakit, Ain masih dapat mengecam suara Zahrah. Ain bersyukur, Zahrah masih mengambil berat tentang dirinya. Zahrah menelefon beberapa orang ahli jawatankuasa hostel supaya datang melihat keadaan Ain. Sementara menunggu ahli jawatankuasa sampai, mereka bertiga, Anita, Farah dan Zahrah bercakap-cakap tentang sesuatu. Ain tidak mempedulikan apa buah bualan mereka, sakit yang menguasai diri harus di usir terlebih dahulu. “Kak Ain sakit kan tu.” Tiba-tiba satu suara sayup-sayup kedengaran entah milik siapa. Namun Ain pasti, suara itu bukan milik Anita. “Ah, habis tu hati aku yang sakit ni!” Jelas suara itu milik Anita menambahkan hiba di hati Ain. “Cacat!” Anita berlalu memberi ruang kepada beberapa orang ahli jawatankuasa hostel dengan meninggalkan kata-kata yang cukup pedih.

Ros dan Yani yang merupakan ahli jawatankuasa hostel melihat keadaan Ain sambil ditemani Farah yang setia di sisi. Ain meminta tolong Farah untuk buatkannya segelas air susu. Farah memberitahu serba sedikit tentang penyakit Ain kepada Ros dan Yani. Mereka berdua bercakap-cakap seperti membincangkan sesuatu. Farah meninggalkan kedua-dua orang ahli jawatankuasa tersebut menemani Ain.
“Kak Ain sudah lama sakit.” Soal Yani kepada Anita yang sedang mengemaskan barang-barangnya. Itulah rutin Anita, mengemaskan barang-barang keperluannya kemudian tidur di bilik Zahrah yang di anggapnya kakak. Bilik yang dikongsi bersama Ain hanya dijadikan hotel baginya.
“Entah, saya keluar tadi.” Jawab Anita acuh tak acuh. Hati Ain semakin digigit pilu. Entah apa yang dibualkan, lalu Anita menghulur sekeping plastik  ubat gastrik yang mengandungi sepuluh biji. Ros dan Yani memujuk Ain supaya mengambil sedikit roti sebagai alas perut sebelum mengambil ubat. Ain masih diam membatu. Air matanya tak habis-habis mengalir lejun. Kemudian Farah menyuruh dua orang ahli jawatankuasa hostel tersebut untuk balik. Dia cuba memujuk Ain. Akhirnya Ain akur, dia hanya mampu menghabiskan separuh roti bersama seteguk air susu. Hatinya terasa bebal untuk menerima ubat yang dihulurkan Farah, kerana dia tahu, ubat itu milik Anita. Dalam terpaksa demi mengusir kesakitan yang bertandang, Ain menelan juga ubat tersebut bagaikan menelan hempedu yang paling pahit. Kemudian Ain berbaring, ingin terus dibuai lena.

Anita masuk ke bilik setelah melihat Farah keluar selepas membaringkan Ain tidur. Sakit yang menggigit di pangkal organ pencernaan Ain masih terasa. Berkali-kali dia beristighfar menahan kesakitan. Terkumat-kamit mulutnya memohon mahgfirah Illahi. Namun sakitnya seakan-akan semakin menular sehingga dia merintih sakit. Istighfarnya semakin kuat kedengaran bersama suaranya mengerang kesakitan. Ia menimbulkan rasa tidak selesa pada Anita.
“Woi, kau pergi tengok perempuan tu.” Ujarnya Anita pada Farah.
“Kenapa?” Soal Farah tak mengerti.
“Entah, bising. Nak mampus pun susah!” Jawab Anita.
Sekali lagi hati Ain bagai diremuk dan disentap kuat. Ayat Anita bagaikan tak berperikemanusiaan lansung? Dimana sifat perimanusianya, sehingga sanggup mengeluarkan kata-kata kesat tatkala seorang insane di hadapannya sedang menahan kesakitan. Adakah Anita tetap akan bersikap begitu jika dihadapannya terlantar Ain yang sedang nazak? Begitu dalamnya kebenciaan Anita terhadap Ain tanpa Ain tahu dimana puncanya.

Farah datang menenangkan Ain. Ain cuba melelapkan mata, bersama tangisan yang lejun membasahi pipinya. Hatinya kian hancur, namun dikuatkan semangat untuk mencantumkan kembali hatinya yang telah hancur berkeping-keping, lalu diserahkan kembali kepada pemilik hati yang hakiki, iaitu Allah..

No comments:

Post a Comment