Thursday 31 May 2012

If I Fall in Love Once More..


Now that you're gone, I have to struggle just for a single breath
You took away apart of my soul
Living alone is like living without a purpose, how am I supposed to continue on living this life?

If I fall in love once more, show me a place for him in my heart that you haven't completely settled in yet. When the time comes, I'll have to close my eyes & whisper 'I love you' with the shadow of image in the back of my mind.


Saturday 26 May 2012

Penantian bhg. 2


Satu-persatu helaian diari lama miliknya dibaca. Tentang kisah hidupnya di awal usia remaja. Tidak ketinggalan detik-detik manis yang dilaluinya dulu bersama Zikri. Marina memang gemar menulis diari. Setiap perkara yang berlaku dalam hidupnya akan dicatat. Lebih-lebih lagi kisah cinta yang dilaluinya bersama Zikri, semuanya tercatat. Tiada satu pun ketinggalan. Setiap tarikh dan peristiwa yang berlaku antara dia dan Zikri semuanya bagaikan penting baginya, dari sekecil-kecil perkara sehinggalah peristiwa besar yang memisahkan mereka berdua.

Air mata Marina terus mengalir. Semakin lama semakin laju menuruni pipinya. Diambilnya sebuah buku tulis yang dijadikan buku luahan hatinya lantas dibaca satu persatu. Buku setebal kira-kira 80 muka surat memuatkan ayat-ayat cintanya terhadap lelaki itu. Sehelai pun tidak ketinggalan. Setiap helai tercatat tarikh tersendiri. Hati Marina terasa pedih bagai dihiris-hiris sembilu. Air mata yang mengalir tak mampu dibedung lagi. Dirinya bagaikan lemah, tak bertenaga. Terasa lesu setiap urat sarafnya. Lalu terjelepok Marina jatuh dari kerusi rodanya ke lantai. Tangisannya kini semakin kuat. Digenggam erat beberapa helai kertas yang dibukukan kemas bertajuk ‘Epilog Terakhir Dari Seorang Insan Bernama Kekasih’. Seingat Marina, tulisan itulah pemberian terakhirnya kepada Zikri sebelum dia meninggalkan sekolah. Salinan asal masih bersamanya. Marina terfikir, bagaimana dengan epilog yang sama yang pernah diberikan kepada Zikri bertahun-tahun yang lalu? Adakah masih disimpannya, atau dibuang, sama seperti mudahnya Zikri ‘membuang’ Marina dari hidupnya.

Suara Puan Syamsiah dari luar mengejutkan Marina. Ibunya sudah pulang. Marina terasa lemah longlai untuk bangun. Namun dia tidak mahu ibunya melihat dia dalam keadaan begitu. Dengan segala kudrat yang masih tersisa, Marina mencuba bangkit ke kerusi roda kembali sambil mengesat tangisannya.
“Assalamualaikum. Ina dari mana ni?” Soal Syamsiah apabila melihat Marina datang dari arah belakang.
“Waalaikumussalam. Ina dari belakang, mak. Tolong kemaskan kawasan situ.”
“Lain kali, tak perlu lah Ina susah-susah kemaskan kawasan belakang tu. Biar mak yang buat. Alhamdulillah, ada rezeki lebih bulan ni. Semua keperluan dapur mak sudah beli. Cuma tinggal beberapa benda lagi terlupa. Nanti ada masa, temankan mak ke pasaraya ya?” Ujar Syamsiah. Marina hanya tersenyum sambil mengangguk.
“Ada apa-apa berita di kampung?” Tiba-tiba Marina bertanya kepada ibunya.
“Oh ya! Lina anak Cik Yah akan kahwin tak lama lagi. Sudah ada yang datang merisik. Sudah jodoh dia.” Marina membayangkan Lina, gadis yang dilahirkan cacat semulajadi. Dia tidak mempunyai jari seperti orang normal. Daya pemikirannya juga agak terencat. Namun sudah Tuhan takdirkan jodoh untuknya, akan hadir lelaki yang mampu menerima dia seadanya. Dua tahun lepas, Syakila, sepupu Marina yang dilahirkan semulajadi terencat pemikirannya. Dia tidak lincah seperti gadis-gadis lain. Di kala usia Syakila hampir menginjak 30-an, Allah hadirkan seorang lelaki alim, berpangkat ustaz sebagai imamnya. Kini mereka bahagia bersama anak sulung mereka yang baru berumur setahun. Semuanya percaturan Allah. Ketetapan Allah tidak dapat dinafikan. Telah Allah catatkan soal jodoh, rezeki dan kematian seseorang semenjak dia berusia 4 bulan dalam kandungan ibu lagi. Setiap orang punyai kekurangan, tentu Allah akan hadirkan seseorang untuknya bagi melengkapkan kekurangan tersebut.

“Ina, kenapa diam? Jauh berfikir.” Bagaikan baru terjaga dari angan-angan, Marina tersentak seketika dengan panggilan ibunya. Kemudian menguntum senyum seperti menidakkan apa yang bermain di fikirannya.
“Waktu sudah senja. Pergi bersiap untuk solat Maghrib. Lepas Isyak nanti kita makan nasi bersama ya.” Tutur Syamsiah sambil mengurai lembut rambut panjang Marina.

Dua hari sudah berlalu pergi. Marina masih sama. Ingatannya pada Zikri tak pernah terlepas. Termenung sendirian mengenangkan semua peristiwa lampau. Panggilan Syamsiah menghambat semua ingatan lalunya. Marina menuju ke dapur. Ibunya sedang menuangkan teh o panas kesukaan Marina bersama kuih karipap. Marina datang menghadap teh o yang masih berasap.  

“Mak, andai Ina ditakdirkan hidup sendirian, bagaimana?” Soal Marina memulakan bicara bersama ibunya.
“Terserah. Soal jodoh bukan di tangan manusia. Sayang keadaan Ina. Andai Ina seperti biasa, gadis normal yang lincah kesana kesini, pasti jadi rebutan. Lagikan Kak Min, kakak kamu yang muka penuh berjerawat dulu pun jadi rebutan, inikan pula adiknya yang jauh lebih lawa.” Syamsiah memuji kecantikan  semulajadi yang dimiliki anak bongsunya berbanding anak perempuan sulungnya yang sudah berumah tangga.  Marina terdiam, mengingati kakanya. Benar kata ibunya, wajah kakanya rosak seawal usia 13 tahun lagi akibat sejenis penyakit yang dipanggil ‘bertih’, lalu menyebabkan mukanya berminyak dan senang ditumbuhi jerawat. Walaupun mereka saudara sedarah daging, namun perwatakan dua beradik itu jauh berbeza.
“Kenapa Ina tanya soal jodoh? Atau Ina sudah ada calon?” Soal Syamsiah.
“Memang pun. Walaupun dalam keadaan Ina begini, masih ada yang setia menanti.” Jawab Marina berbaur gurauan. Namun hatinya terdetik supaya ibunya mengambil serius dengan gurauannya.
“Sudah ada ya? Siapa? Zikri?” Soalan Syamsiah bagaikan menikam lubuk hati Marina. Seolah-olah ibunya tahu tentang hubungannya dengan Zikri.”
“Kalau dia, kenapa?”  Marina cuba memberanikan diri menyoal kembali walau ada rasa takut di hatinya. Namun Marina tahu, ibunya tidak setegas arwah ayahnya.
“Mak tak kisah kalau betul-betul ada insan yang sudi menyayangi Ina. Kalau budak Zikri itu mak kenal. Kalau betul dia, tak apalah. Tapi betul ke dia setia?”
“Sudah masuk lapan tahun perkenalan kami. Ina yakin dia setia.” Ujar Marina yakin.
Syamsiah meninggalkan anaknya lantas bangkit untuk mengangkat jemuran. Marina masih tersenyum-senyum sendirian. ‘Mak sudah bagi green light.’ Hati kecilnya berbisik girang

Malam itu, Marina bagaikan penuh keterujaan ingin menelefon Zikri untuk mengkhabarkan berita gembira tadi. Sekian lama marina menanti masa untuk menceritakan perkara sebenar kepada orang tuanya, namun dia dihantui kebimbangan. Ternyata ibunya dapat menerima pilihannya. Patut pun Syamsiah tidak bertanya panjang sewaktu dia membeli jersi lelaki dan memberitahu ibunya ingin memberi kepada seseorang.
Marina cuba menghubungi Zikri. Namun hatinya hampa. Kedengaran suara Zikri ditenggelami orang ramai. Mana mungkin Marina bercerita soal begitu. Lantas talian terpaksa diputuskan. Marina cuba memberitahu Zikri melalui system pesanan ringkas (SMS), namun tak dibalas. Hati Marina dirundung hampa.

Pagi menjelma lagi. Marina melihat abang Anuar yang baru pulang pagi tadi masih dibaluti selimut. ‘kesian abang, umur masih muda, tapi terpaksa menjaga ibu dan adik yang sakit. Sedangkan abang-abang lain yang lebih matang ada.’ Usai solat zohor, abangnya bersiap-siap untuk ke tempat kerjanya. Sudah menjadi rutinnya, melihat kalau-kalau ada computer yang rosak atau yang perlu diformat, harus di baiki terlebih dahulu. Sekitar jam 3 petang, dia akan ke kedai makannya untuk menyediakan keperluan bersama rakan kongsinya sebelum perniagaan bermula jam 4 petang. Syamsiah yang mendapat undangan kenduri jiran sekampung terpaksa pergi walaupun berat rasa hatinya meninggalkan Marina sendirian.

Seperti biasa, apabila ditinggalkan sendirian, Marina lebih banyak menghabiskan masa dengan termenung di birai tingkap sambil mengamati ketenangan tasik dan kebesaran Allah. Tiba-tiba kedengaran suara orang memberi salam dari luar. Marina lekas mengenakan tudung lalu mengayuh kerusi rodanya ke pintu hadapan.

Terpacul wajah yang sangat dikenalinya, Amran datang bersama buah tangan masih dalam plastik sambil tersenyum kearah Marina. Marina diburu serba salah. Mengizinkannya masuk sedang tiada siapa-siapa di rumah? Atau menyuruhnya pulang sahaja? Marina buntu..

bersambung