Saturday 31 March 2012

Saturday 10 March 2012

Sebuah Kekuatan & Ketabahan..


Assalamualaikum..

Banyak episod kehidupan yang aku lalui selama ini yang membuatkan aku lebih matang, tegar dan lebih tabah. Kerana aku tahu, cabaran di luar sana terlalu banyak. Dunia semakin mencabar, dan aku tak mahu masih berada di tampuk yang sama, yang hambar. Aku selalu minta pada Allah agar diberikan kekuatan. Dan Alhamdulillah, semakin hari aku merasa semakin kuat melawan arus kehidupan. Kekuatan yang aku tak terfikir yang aku akan dapat, tapi Allah beri. Kerana Dia tidak menzalimi hambaNYa. Dia tidak membebani hambaNya melebihi kemampuan hambaNya.. “La yukallifullahu nafsan illa wus’aha.”

Andai ditanya bagaimana aku boleh menjadi seperti sekarang, setegar karang. Jawabku senang, pengalaman lalu yang membuatkan aku tabah. Adakah pengalaman indah? No. Definitely bad memories. Andai aku jadikan pengalaman manis untuk aku jadi kuat, pengalaman aku pernah dipuji sebagai pelahjar terbaik top 5 form 1, antara pelajar terbaik PMRU, antara pelajar terbaik PMR, dan pengalaman yang paling manis, menjadi pelajar terbaik percubaan SPM di sekolah. Semua itu membuatkan aku sentiasa berada di zon selesa, yang sebenarnya zon itu tidaklah selesa sangat seperti kata Tuan Fahdi Ghazali. Sekarang, aku tinggalkan semua itu.

Aku menjadi kuat kerana cacian, hinaan, kutukan dan kejatuhan.  Sewaktu aku jatuh dulu, aku menangis sendiri. Hanya langit dan bumi yang menjadi saksi air mataku bercucuran menitis dari sepasang anak mataku membasahi bumi. Waktu itu, tiada pun manusia menghulur tangan, memberi pertolongan. Memgulurkan tisu, mengesat air mataku. Tapi aku bukan wanita yang hidup bertemankan air mata. Sedayanya aku cuba untuk tak membenarkan ia mengalir dari anak mataku, meskipun hampir lejun bajuku dsibasahi. Aku cuba bangkit sendiri, tanpa bantuann dari sesiapa. Aku cuba bangun, tapi jatuh kembali, aku masih mencuba, dua kali jatuh, aku terus mencuba dan dan terus mencuba. Dan akhirnya aku berjaya sendiri. Aku ingin menjadi manusia ‘Champion’, yang tiap kali bangkit bila jatuh bukan jatuh tak bangun-bangun. Itu antara kata-kata motivasi dari Cik Mhd Noor.

Sewaktu aku dikutuk, dicaci dan dihina, antara ayat pedih bagaikan pisau tajam yang menghiris hati dan mencalar perasaan. “Kau nak bergerak pun kena orang tolak. Orang macam kau, sekali aku tolak kerusi roda, kau boleh jatuh la. Dasar betina cacat!!” Astaghfirullahal azim. Ayat-ayat itu menikam lubuk hatiku sewaktu aku masih belajar di tingkatan 5. Waktu itu, tiada manusia yang pertahankan aku, walau aku benar. Tiada manusia yang berada di belakang aku. Aku merintih sepi sendiri. Aku terima semua duigaan ini. Aku redha dan pasrah serta hanya mampu berserah. Dialah yang Maha Esa, tempat aku mengadu segala kesakitan tika aku sendirian, ditinggalkan manusia sekeliling.

Sepotong ayat dalam doaku, “Ya Allah, tegarkanlah hati hambaMu ini dalam menempuhi cubaan dan dugaan yang Kau beri. Kuatkanlah aku tika aku lemah, tatkala melalui liku-liku tajam di jalanan, dan onak berduri di persimpangan. Hanya padaMu aku meminta.” Alhamdulillah, berkat usaha dan kesabaran aku, aku diberi ketabahan. Aku tabah kerana kutukan dan hinaan bukan dari manusia yang mempertahankan aku. Aku bangkit atas kejatuhan semalam.

Aku tak harapkan ada insan sentiasa di belakangku untuk selalu mempertahankan aku. Kerana aku yakin, Allah akan sentiasa ada di sisiku, selagi aku berada di jalanan benar. ‘Bantuan’ manusia hanya akan mebuatkan aku lemah dan tak mampu mempertahankan diri sendiri. Sesekali takkan ku tunjukkan kelemahanku..

Semoga aku terus tabah dan tegar. InsyaAllah..