Monday 30 April 2012

Penantian. bhg. 1


Angin sepoi-sepoi bahasa menghembus lembut setiap helaian rambut Marina yang sedang termenung di birai jendela, sambil menikmati pemandangan tasik yang luas terbentang di hadapannya. Jernih air tasik itu tidak sejernih hatinya yang sedang bergolak dengan cabaran. Tenang air tasik tidak setenang perasaannya yang sedang berkecamuk dengan beribu masalah. Memikirkan masalah kesempitan hidupnya kini selepas abang ketiganya yang merupakan penjaganya selepas pemergian arwah ayah tersayang mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan kecil. Kalau dulu, semua kehendaknya dipenuhi abangnya. Sehingga top up telefonnya juga sentiasa terisi. Kini hidupnya tidak semewah dulu lagi. Perniagaan abangnya yang baru berusia sebulan belum dapat memberikan hasil lagi. Lebih menyedihkan hati Marina apabila beras di dapur juga telah kehabisan. Ibunya mengeluh, entah apa yang hendak dimasak untuk dihidangkan kepada Marina dan Anuar, anak lelaki ketiga Syamsiah yang biasanya pulang lewat malam dari berniaga. Keputusan peperiksaan Marina juga baru diumumkan. Marina kecewa kerana ada beberapa subjet yang terpaksa di ambil sekali lagi semester hadapan kerana gagal. Memikirkan juga tentang kisah kasihnya yang kian terputus di tengah jalan. Marina sekali lagi dia pasrah.

Penantiannya yang sudah mencecah usia tujuh tahun lebih kini bagaikan debu yang berterbangan pergi. Marina terasa seperti tujuh tahun masanya terbuang begitu sahaja. Penantiannya sia-sia, keikhlasannya diragui, kesetiannya dipermainkan. Namun Marina sedar tentang keadaan dirinya yang tidak sempurna seperti insane lain. Doctor mengesahkan Marina mengalami kelumpuhan kekal akibat serangan kuman di bahagian saraf tunjangnya sewaktu dia masih belajar di tingkatan empat. Namun begitu, Marina tidak pernah putus asa dari mencuba perubatan dari pelbagai cara dengan harapan yang dia akan berjalan kembali normal seperti dulu suatu hari nanti.

Walaupun kakinya lumpuh dan tak mampu merasa apa-apa, namun hatinya belum lumpuh dari merasakan rasa sayang dan cinta fitrah Illahi. Marina mengeluh perlahan, hatinya diragut hiba. Benar kata orang, benci boleh bertukar menjadi sayang, lantaran sayang juga boleh bertukar menjadi benci.

Zikri, satu nama gah bertakhta di hati Marina dulu dan kini walaupun lelaki itu sudah menjauhinya. Perkenalan Marina dan Zikri di bangku sekolah menengah membuahkan rasa cinta di hati masing-masing. Pada mulanya, Marina membenci sikap Zikri yang kelihatan ‘gila-gila’. Dia cuba menegaskan bahawa Zikri bukan pilihannya. Seawall umur 13 tahun, apa sangatlah yang Marina tahu tentang cinta. Hanya rakan-rakan terdekatnya sahaja seperti Wani, Amy, Zahrah dan ramai lagi yang selalu ‘menyatukan’ mereka berdua. Dalam tidak sedar, dari sikap ‘gila-gila’ Zikri itulah yang menarik perhatiaannya sehingga menerima Zikri apa adanya. Marina cuba melindungi soal cintanya dari pengetahuan keluarganya kerana dia lebih arif tentang ketegasan ayahnya.

Sulaman cinta mereka berdua hanya mampu bertahan kira-kira dua tahun apabila ‘aroma’ hubungannya dengan Zikri seakan-akan dihidu ayahnya apabila bapa saudaranya dipindahkan bertugas ke sekolah Marina. Sebelum terlewat dan demi kasih sayangnya pada Zikri, dia tidak mahu lelaki itu menjadi mangsa keadaan, Marina membuat keputusan untuk meninggalkan sekolah tersebut walaupun hatinya berat dan sayangnya pada Zikri menggunung, Marina akur. Sebagaimana kakaknya pernah dimarahi ayahnya dulu dan lelaki yang merupakan kekasih kakaknya bersama keluarganya pernah diterjah ayahnya suatu ketika dahulu. Marina tidak mahu kisah itu berulang kembali kepadanya. Dia tidak mahu Zikri dan keluarganya dipersalahkan. Namun Marina sedih, Zikri tidak pernah memahami sebabnya meninggalkannya lalu menuduh Marina pentingkan diri.

‘Ah, buat apa diingat cerita lama. Sekadar menambah parut yang sedia ada’. Ujar Marina perlahan.
“Ina, buat apa termenung tu? Mari masuk, waktu sudah hampir Maghrib. Lepas Maghrib nanti kita makan nasi bersama. Beras ada lagi, masih cukup untuk makan malam ni.” Panggil Syamsiah menyuruh anak bongsunya masuk.

Keesokan paginya, Syamsiah pulang ke kampong untuk mencari rezeki kalau-kalau ada duit hasil getah yang menitik hasil peninggalan arwah suaminya. Marina ditinggalkan sendirian. Mujur abang Anuarnya ada pagi itu sebelum ke cyber cafe miliknya. Jadi tidaklah Marina keseorangan. Namun jika ditinggalkan keseorangan sekalipun, Marina tidak kisah. Dia mampu menguruskan dirinya sendiri dengan bantuan kerusi roda untuk memudahkan pergerakannya.

“Tak ke cyber café ke hari ni?” Soal Marina kepada abangnya.
“Tak, abang suruh partner abang tolong tengok-tengokkan. Lagipun di cyber café abang sudah uapah pekerja. Tapi pukul tiga nanti abang kena pergi untuk uruskan kedai makan. Jualan bermula pukul empat, jadi abang kena pergi uruskan bahan-bahan untuk memasak dahulu. Kalau mak belum pulang, nampaknya Ina sendirian sebentar lagi.”
“It’s okay. Abang jangan la bimbang. Ina boleh jaga diri. So, malam ni balik atau tak?” Soal Marina kembali sambil menguntum senyum kepada abangnya.
“Mungkin tak.” Jawab Anuar

Deruan enjin kereta abangnya meninggalkan perkarangan rumahnya. Kini Marina sendirian. Mula terasa bosan di hatinya. Entah apa yang boleh dilakukannya bagi mengusir rasa bosan yang bertandang. Marina terlihat bilik hujung yang masih belum siap kerana masalah kewangan keluarga. Terdetik dihatinya untuk melihat keadaan bilik itu. Keadaan bilik tersebut bagaikan stor yang terisi dengan barang-barang yang sudah tidak digunakan.

Tiba-tiba mata Marina tertacap pada sebuah kotak yang berada di hujung sudut bilik tersebut. Marina cuba menghampiri kotak tersebut walaupun susah kerana bilik tersebut dipenuhi barang-barang lain yang menyukarkan pergerakan kerusi rodanya. Akhirnya dia Berjaya mengambil kotak tersebut. Hatinya digigit hiba. Belum pun kotak tersebut dibuka, air matanya terlebih dahulu menitis, satu persatu menitik keatas kotak tersebut. Tangisan Marina semakin kuat melihat kotak itu berada di ribaannya….



bersambung...

Sunday 29 April 2012

Soal Jodoh.

Jodoh ditentukan oleh
Allah sewaktu kita
berumur 4 bulan di dalam
kandungan ibu. ( Malaikat
akan tulis nama kita,
rezeki, kerja, kahwin
dengan siapa, cerai atau
tidak, anak berapa dan
semuanya tentang diri ) .". ^__^

Friday 27 April 2012

Air Mata Ain


Ain berkali-kali menekan perutnya yang sakit. Terasa gastriknya menyerang pedih ke bahagian perut. Mana tidaknya, sedari pagi Ain tidak menyentuh apa-apa makanan. Jam sudah lewat menginjak ke pukul 10 malam. Teman sebiliknya masih belum pulang. Ain sendirian tika itu, hanya mampu menahan kesakitan yang amat. Tidak lama kemudian, terdengar pintu diketuk kuat. Tentu teman sebiliknya telah pulang. Ain cuba mengensot hendak ke muka pintu, namun tak berdaya. Berkali-kali dia mencuba, namun tetap juga gagal. Lantas dia mengambil keputusan untuk berdiam diri sambil menahan kesakitan. Matanya dipejam rapat-rapat. Sakitnya semakin galak menguasai diri. Pintu diketuk semakin lama semakin kuat.

Ain hanya mampu beristigfar dalam hati, mengharapkan Allah permudahkan segala jalan. Ketukan bertalu-talu masih kedengaran. Ain tahu, tentu teman sebiliknya, Anita akan memarahinya kerana tidak membuka pintu.

“Wei, buka lah, sial, perempuan cacat!” Satu suara kedengaran jelas menikam hati Ain. Bagaikan secara automatik, air jernih mula menitik setetes demi setetes. Sakit yang dirasai sebelum ini terasa tiada sakit langsung. Sesungguhnya kata-kata dari teman sebiliknya itu lebih menyakitkan bagaikan pisau pembunuh yang paling tajam.

“Cacat!” Sekali lagi perkataan itu terkeluar dari mulut Anita. Titisan air mata semakin galak bermain dari mata Ain. Sesungguhnya Ain lemah menghadapi situasi itu. Di saat dirinya sakit, ada pula perkataan kasar dihamburkan kepadanya. Satu perkataan yang Ain sendiri arif tentang itu dan tak ingin lagi didengar. Ain sedar, dirinya tempang, dirinya cacat, tak sempurna seperti manusia lain.

Berkali-kali Anita mencuba untuk membuka pintu bilik sambil ketukan bertalu-talu terus kedengaran. Bagaikan ingin pecah daun pintu bilik. Ain terus beristigfar tak henti-henti dalam hatinya. Setelah beberapa lama mencuba, akhirnya Anita yang ditemani kawannya yang juga merupakan adik angkat Ain, Farah berjaya membuka pintu bilik. Setelah pintu bilik terbuka, Farah terkejut melihat keadaan Ain lalu meluru pantas mendapatkan Ain yang terlantar atas katil sambil menekan perut berkali-kali. Mata Ain sengaja dipejam rapat-rapat, sambil air jernih masih lejun membasahi pipinya. Anita berlagak biasa seperti tiada apa-apa yang berlaku di hadapannya. Dia menyusun beberapa helai baju dan buku untuk esok. Keadaan Ain lansung tidak menarik perhatiannya.

“Kenapa dengan Kak Ain ni? Akak tak makan lagi hari ni?” Soal Farah yang berada di sisi Ain menemani. Ain hanya terdiam bisu, membiarkan air mata membasuh luka di hati. “Kak Ain..” Ujar Farah lembut sambil mengusap-ngusap tubuh Ain.

“Anita, kita panggil Kak Zahrah. Teruk keadaan Kak Ain ni.” Usul Farah kepada Anita setelah dia sendiri kebuntuan untuk melakukan sesuatu. “Terserah.” Jawab Anita ringkas.
Zahrah merupakan kawan baik Ain. Mereka selalu dilihat bersama. Namun kebelakangan ini, ada salah faham di antara mereka yang mencetuskan pergaduhan besar sehingga Zahrah memutuskan persahabatan mereka dan berjanji untuk tidak lagi ke bilik Ain. Kebencian Zahrah terhadap Ain begitu mendalam sehingga jatuh ke lubuk hatinya yang terdalam.

Beberapa minit kemudian, Zahrah datang ke bilik Ain. Dalam menahan rasa sakit, Ain masih dapat mengecam suara Zahrah. Ain bersyukur, Zahrah masih mengambil berat tentang dirinya. Zahrah menelefon beberapa orang ahli jawatankuasa hostel supaya datang melihat keadaan Ain. Sementara menunggu ahli jawatankuasa sampai, mereka bertiga, Anita, Farah dan Zahrah bercakap-cakap tentang sesuatu. Ain tidak mempedulikan apa buah bualan mereka, sakit yang menguasai diri harus di usir terlebih dahulu. “Kak Ain sakit kan tu.” Tiba-tiba satu suara sayup-sayup kedengaran entah milik siapa. Namun Ain pasti, suara itu bukan milik Anita. “Ah, habis tu hati aku yang sakit ni!” Jelas suara itu milik Anita menambahkan hiba di hati Ain. “Cacat!” Anita berlalu memberi ruang kepada beberapa orang ahli jawatankuasa hostel dengan meninggalkan kata-kata yang cukup pedih.

Ros dan Yani yang merupakan ahli jawatankuasa hostel melihat keadaan Ain sambil ditemani Farah yang setia di sisi. Ain meminta tolong Farah untuk buatkannya segelas air susu. Farah memberitahu serba sedikit tentang penyakit Ain kepada Ros dan Yani. Mereka berdua bercakap-cakap seperti membincangkan sesuatu. Farah meninggalkan kedua-dua orang ahli jawatankuasa tersebut menemani Ain.
“Kak Ain sudah lama sakit.” Soal Yani kepada Anita yang sedang mengemaskan barang-barangnya. Itulah rutin Anita, mengemaskan barang-barang keperluannya kemudian tidur di bilik Zahrah yang di anggapnya kakak. Bilik yang dikongsi bersama Ain hanya dijadikan hotel baginya.
“Entah, saya keluar tadi.” Jawab Anita acuh tak acuh. Hati Ain semakin digigit pilu. Entah apa yang dibualkan, lalu Anita menghulur sekeping plastik  ubat gastrik yang mengandungi sepuluh biji. Ros dan Yani memujuk Ain supaya mengambil sedikit roti sebagai alas perut sebelum mengambil ubat. Ain masih diam membatu. Air matanya tak habis-habis mengalir lejun. Kemudian Farah menyuruh dua orang ahli jawatankuasa hostel tersebut untuk balik. Dia cuba memujuk Ain. Akhirnya Ain akur, dia hanya mampu menghabiskan separuh roti bersama seteguk air susu. Hatinya terasa bebal untuk menerima ubat yang dihulurkan Farah, kerana dia tahu, ubat itu milik Anita. Dalam terpaksa demi mengusir kesakitan yang bertandang, Ain menelan juga ubat tersebut bagaikan menelan hempedu yang paling pahit. Kemudian Ain berbaring, ingin terus dibuai lena.

Anita masuk ke bilik setelah melihat Farah keluar selepas membaringkan Ain tidur. Sakit yang menggigit di pangkal organ pencernaan Ain masih terasa. Berkali-kali dia beristighfar menahan kesakitan. Terkumat-kamit mulutnya memohon mahgfirah Illahi. Namun sakitnya seakan-akan semakin menular sehingga dia merintih sakit. Istighfarnya semakin kuat kedengaran bersama suaranya mengerang kesakitan. Ia menimbulkan rasa tidak selesa pada Anita.
“Woi, kau pergi tengok perempuan tu.” Ujarnya Anita pada Farah.
“Kenapa?” Soal Farah tak mengerti.
“Entah, bising. Nak mampus pun susah!” Jawab Anita.
Sekali lagi hati Ain bagai diremuk dan disentap kuat. Ayat Anita bagaikan tak berperikemanusiaan lansung? Dimana sifat perimanusianya, sehingga sanggup mengeluarkan kata-kata kesat tatkala seorang insane di hadapannya sedang menahan kesakitan. Adakah Anita tetap akan bersikap begitu jika dihadapannya terlantar Ain yang sedang nazak? Begitu dalamnya kebenciaan Anita terhadap Ain tanpa Ain tahu dimana puncanya.

Farah datang menenangkan Ain. Ain cuba melelapkan mata, bersama tangisan yang lejun membasahi pipinya. Hatinya kian hancur, namun dikuatkan semangat untuk mencantumkan kembali hatinya yang telah hancur berkeping-keping, lalu diserahkan kembali kepada pemilik hati yang hakiki, iaitu Allah..

Thursday 19 April 2012

Semoga Aku Menemui yang Terbaik..

Bismillahirrohmannirrohim.....

Ya Allah..Ya Tuhanku..
... Jika pendampingku telah engkau lahirkan,
gerakan hatinya tuk menujuku,
Pertemukanlah kami dlm sebaik-baiknya pertemuan tuk menuju
Redha-Mu..
Kerana Engkaulah yg berhak atas hati hamba2-Mu..
Dan Engkau jua yg kuasa membolak balikannya..

Ya Rabb,
Bila dia jauh,dekatkanlah..
Eratkan hati kami dlm ikatan kerana-Mu,
Tautkan hatiku dgn hatinya yg sama2 mengharap & mendamba
sebuah keinginan menuju redha-Mu..

Ya Allah...Yang Maha Pecinta
Pemilik cinta sejati,
Jikalau cintaku kau ciptakan untuk dia,
Tabahkan hatinya..
Teguhkan imannya..
Tegarkan penantiannya..

Ya Rabb...Sang Pemilik hati,
Jikalau hatiku KAU ciptakan untuk dia,
Penuhi hatinya dgn Kasih-Mu,
Terangi langkahnya dengan Cahaya-Mu,
Limpahkan kelapangan dikalbunya dengan kesabaran,
Temani dia dlm kesepian..

Ya Rabb,
Tiada tempat ku bersandar Selain pada-Mu,
Kutitipkan cintaku pada-Mu untuknya..
Kutitipkan sayangku pada-Mu untuknya..
Kutitipkan rinduku pada-Mu untuknya..
Mekarkan cintaku bersama cintanya..
Satukan hidupku & hidupnya dlm Cinta-Mu..

Rabb....
Ku yakin bila saatnya sudah menghampiri,
Pasti kebahagiaan itu aku dapati..
Mohon beri aku kekuatan dan kesabaran dlm penantianku..

Ya ALLAH..
Kirimkan dia yg dpt membawa kebaikan,
Baik bagi duniaku, akhiratku dan agamaku..
Agar kami sama2 berjamaah tuk tetap menuju-Mu..
Bimbinglah hati kami,
Kuatkan hati kami..
Penuhilah dengan Rahmat & kasih sayang-Mu..
Aamiin ya Rabb...